EM & Dewan Malaysia

Sejarah Penubuhan Education Malaysia UK & Ireland dan Dewan Malaysia

 

Education Malaysia UK & Eire (EM) (yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Penuntut Malaysia UK & Eire) dan Dewan Malaysia merupakan unit yang diletakkan dibawah pentadbiran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London dan juga merupakan antara unit terpenting dibawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Sejarah penubuhan Education Malaysia UK & Eire bermula semenjak kewujudan Malayan Students Unit of the Colonial Office pada awal Februari 1954. Unit berkenaan merupakan salah satu unit khas yang bertanggungjawab kepada perkara yang melibatkan kedatangan pelajar-pelajar daripada Negara-negara Colonial dan merdeka. Bangunan pertama terletak di Malaya House, Grand Buildings, Trafalgar Square, London dan kemudian berpindah ke 288, Walmar House, Regent Street sekitar pertengahan Oktober, 1959. Sekian lama bertapak di Regent Street, sekali lagi Dewan Malaysia berpindah ke bangunan yang terletak di 44 and 45 Bryanston Square, London W1H 8AJ bermula dari tahun 1951 sehingga 1954. Setelah tamatnya tempoh sewaan bangunan berkenaan pada tahun 1954, JPM dan Dewan Malaysia telah berkongsi menggunakan lot 46 dan 47 di bangunan yang sama.

Ruang yang terhad bagi lot 46 dan 47, Bryanston Square menyebabkan JPM dan Dewan Malaysia tidak dapat berfungsi sebaiknya. Menyedari masalah yang dihadapi, Kerajaan Malaysia telah bertekad berusaha untuk membeli bangunan berpegangan bebas bagi menempatkan kedua-dua institusi berkenaan di kawasan sekitar W1 atau W2.

Di Ireland, Dewan Malaysia Hall Dublin sebelum ini dikenali sebagai Malayan Students Centre telah bermula rasmi pada November 1956 menggunakan premis hak milik Kerajaan Malaysia bertempat di 31, Leeson Park, Dublin.

Pada sekitar tahun 1998 terdapat beberapa Pusat Pelajar Malaysia yang terletak di Belfast, Cardiff, Brighton, Manchester, Birmingham dan Glasgow. Walau bagaimanapun, desakan krisis kewangan yang dihadapi oleh Malaysia pada tahun 1997 dan 1998 memaksa semua Pusat Pelajar Malaysia berkenaan ditutup.

Kini, Dewan Malaysia dan Education Malaysia telah ditempatkan dalam bangunan yang sama semenjak dari tahun 2003. Lot bangunan 30 – 34, Queensborough Terrace, W23ST London yang telah dibeli dan menjadi hak milik Kerajaan Malaysia meneruskan kesinambungan fungsi dan menyediakan kemudahan kepada para pelajar/

Dewan Malaysia berperanan sebagai pusat dan penginapan bagi para pelajar Malaysia yang terdapat di UK. Selain bilik-bilik penginapan yang disediakan, Dewan Malaysia juga telah dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan lain untuk kegunaan para pelajar dan juga kantin yang menyediakan juadah makanan Malaysia yang bukan hanya boleh dinikmati oleh pelajar tetapi masyarakat UK dan pelancong.

Sejarah penubuhan Dewan Malaysia di Bryanston Square mempunyai rujukan sejarah yang tersendiri dan mendalam bagi setiap jiwa rakyat Malaysia. Ianya merupakan tempat berlangsungnya perbincangan strategi oleh pemimpin-pemimpin Tanah Melayu (Malaysia) pada awal sekitar tahun 1950 untuk memperoleh kemerdekaan daripada kuasa jajahan British.

Semenjak penubuhannya, lebih daripada 200,000 pelajar Malaysia di UK dan Ireland telah menginap dan menikmati kemudahan yang disediakan ini. Masa yang berlalu dan susur galur sejarah Dewan Malaysia telah menjadikan ianya sebagai simbol sentimental bagi setiap bekas pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di university-universiti UK dan Ireland. Tidak hairanlah jika Dewan Malaysia dijadikan destinasi penting untuk dilawati semula oleh bekas pelajar yang kebanyakannya mengganggap Dewan Malaysia sebagai rumah kedua mereka.